Friday, March 18, 2011

Namaku Muna~6~

Salam..
Kredit buat pengarang sebenar :)



Angin petang berhembus lembut. Cahaya matahari yang jernih menyimbah bumi kelihatan redup. Suasana menjadi tenang dan damai. Rumput-rumput berliuk lentok dihembus bayu. Di tengah-tengah padang bola, pelajar-pelajar lelaki sedang rancak bermain bola sepak. Kebiasaan di S3N ini. Setiap petang mereka akan turun bermain bola sepak di padang sekolah. Kadangkala latihan hoki dijalankan di sana, maka yang tidak terlibat akan bermain futsal sahaja di laman Asrama Abu Ubaidah al-Jarrah.

Satu.. dua.. tiga.. empat..
Muna Farhah Wahidah seperti selalu, bertemankan kertas A4 dan pensel. Jari jemarinya sibuk melarik kertas putih. Dia melakukan dengan teliti sekali. Bila kita lakukan sesuatu kerana minat, sudah pasti dengan tekun akan dilakukan. Tapi bila tiada minat, ibarat melepas batuk di kaki tangga sahajalah. Baju T-shirt lengan panjang bersaiz XXXL yang dipakainya itu bertiup-tiup disapa bayu. Sesekali dia membetulkan tudungnya yang turut menjadi asakan angin. Dia tidak berganjak dari duduknya.

Abrisam menuruni anak tangga Asrama Khalid al-Walid. Earphone di telinganya dilekatkan agar tidak tertanggal. Ungu – Takkan Terulang sedang berlagu dari Discman. Beg sandang di belakang ditarik ke bahu. Langkah kaki diatur menghala ke arah pondok rehat di hadapan asrama. Cadangnya hendak mengulangkaji di sana. Petang-petang begitu tentu sekali mengulit mata jika dia belajar di dalam dorm. Latih tubi yang banyak perlu dia habiskan segera. Masih banyak lagi topik-topik yang belum disentuh. Dia mahu belajar secara konsisten. Bukan last minute study.

Bismillahirrahmanirrahim...
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Dia memulakan ulangkaji. Mudah-mudahan apa yang dipelajari petang itu mendapat berkat Ilahi. Pena mata bola berdakwat biru menari-nari di atas halaman buku latihannya. Sesekali dia menekan kalkulator dan sesekali dia menyelak helaian buku rujukan di tepi.

Sejam berlalu. Masa berjalan begitu cepat. latih tubi hampir siap. Abrisam menghabiskan beberapa jawapan terakhir sebelum menamatkan latihan petang itu. Dia meregangkan tangan sambil menarik nafas dalam-dalam. Matanya memandang ke arah pondok rehat kira-kira 300 meter dari tempatnya. Kelihatan seorang gadis sedang leka melakar sesuatu di atas kertas. Gadis itu berseorangan sahaja. Abrisam juga seorang diri.

    “Woi...” Suara Kamarul mengejutkannya.
    “....” Dahi berkerut. Hampir saja dia terlepas buku di tangan.
    “Kau tengok siapa tu?” Kamarul menghampirinya. Kamarul tunduk mengikat tali kasut.
Apalah salahnya sekadar nak melihat gelagat manusia sesekali. Bukannya dengan niat apa-apa pun. Tapi mungkin tidak manis untuk seorang lelaki memandang gadis yang tidak diketahui namanya itu. Abrisam diberitahu namanya panjang. Tapi ramai memanggilnya Muna atau ‘Gadis Berat Mulut’ atau lebih keji lagi ‘Kera Sumbang’. Sedap namanya. Muna. Tapi nama penuhnya siapa?
    “Mana ada... aku study kat sini tadi..” balas Abrisam. Pandangannya dialihkan ke arah Kamarul. Dia tidak mahu menimbulkan sebarang rasa syak wasangka di hati temannya itu.
    “Eleh... tak payah nak cover lah... kalau atas pentas kau boleh berhujah.. kat sini toksah lah nak selindung..”
Abrisam sekadar tersenyum. Dia tiada sebarang hujah untuk dipertahankan. Kadangkala pendebat pun boleh kalah dengan hujah orang biasa.
    “Jom.. futsal..” Ajak Kamarul.
    “kat mana?” Tanya Abrisam.
    “Asrama Abu Ubaidah... kat laman depan tu..” jelasnya.
    “Mmmm” Abrisam mengangguk tanda setuju.
    “Kau masuk team aku... ok?” Cadang Kamarul.
    “Set...”


-------------------to be continued----------------------

Hasil Karya, 
Hafeiz Suhaimi


Sunday, February 20, 2011

Namaku Muna~5~

Salam..
Kredit buat pengarang sebenar :)




Hari Ahad merupakan hari pertama persekolahan pada setiap minggu. Kadangkala ada baik juga hari Ahad bermula persekolahan, bermakna cuti hujung minggu adalah Jumaat dan Sabtu. Hal ini membolehkan umat Islam berjemaah Jumaat dengan selesa. Tidaklah perlu terkejar-kejar untuk ke masjid.

Abrisam bangun awal pagi tadi. Kebiasaannya dia bangun jam 6 pagi. Tetapi azamnya bila masuk ke S3N ini adalah untuk bangun awal pagi dan bertahajud serta mengulangkaji. Dua hari pertama berada di S3N menggembirakannya. Ramai juga teman-teman baru, tidak kurang juga bertemu dengan pendebat-pendebat S3N yang tidak kurang handalnya. Dia ditempatkan di Asrama Khalid al-Walid dorm satu. Dia berkongsi katil dua tingkat dengan Kamarul.

    “Kau dah tahu kelas mana?” Kamarul bertanya. Baju kemeja putih sedang hangat diseterika beralaskan sejadah.
    “Belum.. aku kena pergi pejabat sekali lagi.. Puan Hanisah ke nama kerani tu..”
    “A’ah.. Kenapa dengan Puan Hanisah?”
    “Dia suruh datang pagi ni untuk tentukan kelas mana..” sambung Abrisam.
    “Mana-mana kelas pun sama saja.. sure kau jadi perhatian hari ini..”
Abrisam berkerut kening. Susah benar jadi manusia dikenali ini. Dia pun tidak pernah terbayang difikiran akan ke tahap itu. Cuma satu perkara sahaja yang selalu dipegangnya. Tinggi mana pun mencecah awan, rumput di bumi jangan dilupa. Itu falsafah hidupnya.

Abrisam ditempatkan di Tingkatan 5 Sains Ibnu Khaldun. Memang seperti yang dikatakan Kamarul; dia jadi perhatian ramai. Bukan seorang dua yang memberi perhatian. Setiap gerak gerinya diperhatikan. Macam dia ini makhluk asing sahaja. Dia cuba menjadi seramah mungkin. Dia mahu mencipta banyak persahabatan. Supaya nanti dia tidak terasa disisihkan atau menyisihkan. Dia mahu kehidupannya berjalan dengan baik, tanpa ada sebarang masalah perhubungan dengan mana-mana pihak.

Slot waktu terakhir sebelum tamat sekolah adalah kelas Biologi.

Jantung adalah salah satu organ di dalam badan yang sangat penting. Jika otak kita dianalogikan kepada enjin kereta, maka jantung itu umpama tangki minyak. Tanpa tangki minyak yang membekalkan minyak, tak ada gunanya enjin berkapasiti tinggi sekali pun. 

Syukuri nikmat Ilahi kerana memberikan kita semua kesempurnaan untuk hidup normal. Bayangkanlah betapa penting organ bernama jantung di dalam diri kita. Jika jantung tiada, bagaimana agaknya otak dan organ badan yang lain akan mendapat bekalan oksigen dan nutrien? Maha Besar dan Maha Pencipta Allah swt, Tuhan Pemerintah Seru Sekelian Alam. Bila belajar sesuatu, perlulah dikaitkan kepada Tauhid kita padaNya. Barulah bermanfaat ilmu itu meningkatkan keimanan kita padaNya.

Abrisam terpaku melihat lakaran jantung di papan hitam. Cikgu Roslinah melarik-larik dinding jantung di papan hitam itu sambil mulutnya tidak berhenti-henti memberikan penerangan. Sesekali Abrisam mengangguk kepala tanda faham. Suasana diam sambil memberikan perhatian dan tumpuan sepenuhnya kepada subjek yang diajarkan. Inilah kali pertama mereka diperkenalkan kepada Jantung manusia yang selama ini dipelajari secara asas sahaja.

Jantung atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai heart (Latin, cor) merupakan organ berongga yang berfungsi mengepam darah melalui saluran darah dengan denyutan yang sekata yang berulang-ulang. Istilah kardium bermaksud berkaitan dengan jantung, berasal dari perkataan Greek kardia untuk “jantung”

Jantung sangat istimewa jika dibandingkan dengan organ lain. Otot jantung berdenyut tanpa henti dan tidak mengalami tenat. Maka sebab itulah jantung boleh berdenyut sepanjang masa untuk mengepam darah tanpa perlukan rehat. Jantung mempunyai empat ruang khas atau bilik untuk mengkoordinasikan pengepaman darah.

Darah tak beroksigen dari tubuh memasuki atrium kanan melalui 2 urat, vena kava superior dan vena kava inferior. Darah kemudian mengalir ke ventrikel kanan. ventrikel kanan mengepam darah tanpa oksigen ke paru-paru, melalui arteri pulmonari. Selepas darah kehilangan karbon dioksida dan menyerap oksigen dalam paru-paru, ia mengalir melalui urat pulmonari ke atrium kiri. Dari atrium kiri, darah beroksigen memasuki ventrikel kiri. ventrikel kiri merupakan pam utama, menghantar darah melalui aorta kesemua tubuh.

Memang mudah jika hendak dibacakan sahaja teks Biologi itu. Tapi untuk memahaminya memerlukan guru yang cekap dalam teknik mengajar untuk menjadikan pembelajaran itu mudah dan menyeronokkan. Jika tidak sudah pastilah ramai yang tidur di dalam kelas. Atau mungkin juga pura-pura faham, sedangkan satu habuk pun tidak lekat di dalam kepala. Abrisam menyalin nota-nota yang diberikan oleh Cikgu Roslinah.

    “Ada sesiapa yang tak faham?”
Seseorang guru juga jangan jadi syok sendiri sahaja. Jangan kerana ilmu yang terlalu melimpah di dada, mengajar pun kerana syok sendiri. Bak kata orang, mengajar biar sedikit tapi bermanfaat dari berkhutbah seorang diri di depan tapi satu apa pun tidak difahami murid.
    “....” Semuanya diam. Lumrah biasa pelajar-pelajar kita. Bila ditanya faham atau tidak, semuanya menjawab faham. Bila peperiksaan, semuanya merapu dalam kertas jawapan.
    “Kalau ada sesiapa yang nakkan explanation, jumpa saya...” Cikgu Roslinah mengemas buku-buku rujukan di atas mejanya. Semua murid bangun menghormati.

Krriing...
Loceng kelas terakhir berbunyi. Menandakan berakhirlah sudah sesi pengajian untuk hari itu. Semua boleh pulang.
    “Err sebelum saya lupa, buat latihan muka surat 78 hingga 82... hantar sebelum Khamis ni...” Sempat lagi Cikgu Roslinah berpesan dalam pada mengatur langkah keluar bilik darjah.

Semua pelajar mengeluh. Bertambah lagilah nampaknya kerja-kerja rumah. Pagi tadi Cikgu Wong sudah memberikan tugas 10 muka surat untuk subjek Kimia. Itu belum dicampur dengan latih tubi Matematik Moden dan juga Fizik. Belum lagi juga dikira latihan Matematik Tambahan yang bakal diterima esok dari Miss Anne. Nak dikata apa lagi. Itu semua tanggungjawab mereka juga. Bukankah mereka datang ke S3N ini untuk menimba ilmu?



------------------to be continued------------------------



Hasil Karya, 
Hafeiz Suhaimi

Namaku Muna~4~

Salam.. 
kredit buat pengarang sebenar


Kecoh satu sekolah dengan berita pelajar baru mendaftar. Bukan kerana sekolah itu tidak pernah mendaftar pelajar baru, tapi kali ini agak mengujakan kerana dia adalah seseorang yang terkenal di kalangan pelajar sekolah berasrama penuh. Seluruh negara menggeruni namanya. Belum lagi bermain hujah dengannya. Rekod tanpa kalahnya di dalam pertandingan debat antara sekolah-sekolah berasrama penuh menjadikan namanya begitu digeruni. Tidak kurang juga yang menjadikan dia sebagai idola mereka, khususnya bagi pendebat-pendebat muda.

Kini bintang yang bergemerlapan itu dimiliki S3N. Dia kini berada di S3N. Dia kini sah menjadi pelajar S3N. Sudah pasti ramai yang bercita-cita untuk bertemu dengannya. Melihat kehebatannya berhujah dan mungkin juga ramai yang menaruh hati padanya. Semenjak semalam desas desus itu sudah bermula. Dari Kedai Koperasi S3N membawa ke Dewan Makan. Dari Makmal Sains ke Perpustakaan Usman Awang. Dari masjid Seri Negeri ke dorm-dorm asrama. Topik banyak berkisar berkenaan hal dia. Besar sungguh aura pendebat itu. Mengalahkan aura Mawi AF3.

    “Muna...” Garfu di tangan mencucuk daging masak hitam di dalam pinggan.
    “....” Pandangan matanya membawa maksud ‘apa?’
    “Kau tak dengar cerita pasal debater tu ke?”
    “entah... penting ke?” Nasi disuapkan ke dalam mulut.
Penting sangatkah untuk Muna mengambil tahu akan hal pendebat terbaik itu? Siapa dia pada Muna? Oh ya. Mungkin sekarang dia sudah menjadi teman sepersekolahan Muna. Tapi siapa peduli semua itu?
    “Muna ini... cerita panas macam tu pun tak tau ke?” Lailina mencebik.
    “Nak buat apa ambik tahu?” Muna menjawab selamba tak beriak.
    “Hmmm...” Mati ayat.

Dari jauh kelihatan dua orang pelajar lelaki sedang menuju ke arah meja makan tempat Lailina dan Muna sedang menikmati juadah tengahari.

    “Assalamualaikum...” Salah seorang dari mereka memberikan salam.
Muna tunduk memandang biji-biji nasi di dalam pinggan. Dia tidak betah berada di hadapan lelaki seperti itu.
    “Waalaikumussalam...” Nurlailina mewakili Muna untuk menjawab salam pelajar tersebut.
    “Saya nak ucapkan terima kasih pasal semalam...” Suara itu datar tapi lembut.
    “....” Muna menganggukkan kepala tanda ‘sama-sama’.
    “By the way, saya Syed Abrisam Adli...” Renungannya itu membawa maksud ‘Siapa nama awak pula?’.
Muna masih diam. Nasi putih di dalam pinggan seperti terbakar dek renungan tajamnya. Mulut masih terkunci. Dia gamam. Tidak pernah lelaki sudi memperkenalkan diri kepadanya selama ini. Mungkin juga mereka tidak selesa untuk melayan gadis ‘berat mulut’ sepertinya.
    “Err... sedara... kami kena pergi dulu... ada usrah...” Lailina memahami dilema yang sedang dihadapi Muna.
Lailina bingkas bangun sambil menarik lengan Muna. Dia tahu Muna tidak selesa dengan suasana sebegitu. Lebih baik dia menjadi penyelamat keadaan. Lagi pun Muna pasti takkan menjawab soalan-soalan Syed Abrisam walau pun lelaki itu sanggup tunggu sampai ke subuh pagi esok. Lailina kenal benar dengan gadis unik bernama Muna Farhah Wahidah di sisinya itu. Dia membawa Muna naik ke dorm.

Abrisam memandang penuh tanda tanya. Belum pernah dia temui gadis sepelik itu. Belum pernah dia kenali gadis yang sangat mahal untuk mendengar sekadar namanya sahaja. Dia terfikir-fikir mungkinkah tindakannya itu tidak sesuai. Mungkin Muna berasa segan ditegur begitu. Bukankah di dalam Islam tidak boleh lelaki dan wanita bukan mahram bertemu berduaan? Jadi salahkah dia bertindak bertemu gadis itu dikhalayak ramai? Abrisam memandang ke serata ceruk Dewan Makan. Setiap mata memandang ke arahnya. Apa salah dia?

    “Kan aku dah cakap... tak jumpa pun dia tak kisah... tengoklah dia tadi..” Kamarul bersuara. Mereka berdua melangkah meninggalkan Dewan Makan.
    “Tak eloklah macam tu.. dia tolong aku semalam.. tak sempat terima kasih..” balas Abrisam.
    “Kau tak kenal dia lagi...” Kamarul menyambung. Abrisam terpinga-pinga memandang teman barunya itu.



-----------------to be continued---------------------------



Hasil Karya, 
Hafeiz Suhaimi

Monday, January 03, 2011

Namaku Muna~3~

Salam..Sedikit perkongsian buat antum..saya dah khatam dah cerita ni..
Sebuah cerpen islamik yang mempunyai banyak pengisian dan pengajaran..ada masa bacalah ya kawan2..:)
Kredit ditujukan buat pengarang sebenar



Episod 3
----------


Satu.. dua.. tiga.. empat..
Langkah diatur satu persatu perlahan-lahan mendekati bangunan makmal Biologi. Pohon-pohon bunga raya memenuhi ruang mata. Angin petang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Liuk lentok bunga raya seperti menari-nari mengikut irama bayu. Sesekali wajahnya diraup. Dia menghirup udara petang di bawah pondok kecil di hadapan Makmal Biologi Ibnu Sina. Pondok itu sudah sebati dengan kehidupannya semenjak bergelar pelajar Sekolah Sains Seri Negeri. Setiap petang dia menghabiskan masanya di situ.

Sama ada menyiapkan tugasan kerja rumah yang menimbun itu. Atau pun memenuhi hobinya. Kadangkala hanya sekadar menghabiskan masa terluang dengan meneliti isi-isi kandungan naskhah Tafsir al-Quran yang sentiasa menjadi peneman setianya. Muna Farhah Wahidah lebih selesa menjadi ‘kera sumbang’ dari menghabiskan masanya dengan kerja-kerja yang tidak berfaedah. Dia bukanlah seorang anak yang bertuah. Dia bukan seperti Sharifah Khalishah atau Engku Munawarah atau pun Puteri Azhani. Mereka berketurunan, punya keluarga baik-baik dan yang paling dipandang manusia biasa; mereka dari keluarga berada.

Satu sen bagi Muna sangat berharga, tetapi dibuat sedekah sahaja pada mereka yang berduit. Muna perlu tabahkan dirinya. Dia perlu menjadi seperti ikan di dalam laut, walau pun hidup di air masin tapi isinya tetap manis. Dia tidak boleh leka dengan hiburan dan kegembiraan semata. Dia memikul tanggungjawab yang besar sebagai pelajar, anak, kakak dan yang paling penting sebagai hamba kepadaNya. Lumrah hidup seorang miskin hina sepertinya, ke mana pergi dipandang jelek. Dia sudah masak dengan semua itu. Sudah lali dengan caci maki manusia.

    “Eiii kotornya baju awak... tak basuh ke?”
Kawan-kawan sekelilingnya ketawa berdekah-dekah. Hati mana yang tidak pedih dan terguris bila dihina di hadapan pelajar-pelajar lain. Memang dia miskin. Tidak punya wang yang banyak seperti mereka. Tapi apakah itu maknanya dia layak dihina dan dikeji seperti najis. Bukankah anak Adam itu mulia di sisi Allah? Muna menangis teresak-esak sambil berlari meninggalkan rakan-rakannya. Niat asalnya untuk tumpang bermain batu seremban dimatikan begitu sahaja. Kalau kanak-kanak sekecil mereka yang masih bersekolah rendah lagi sudah mendiskriminasikan pangkat dan kekayaan, bagaimana pula jika mereka dewasa?

    “Busuklah awak ini... pergi duduk jauh-jauhlah...”
Kata-kata hinaan dari rakannya ketika dia hendak menjamah nasi goreng bekalan ibunya. Ketika itu dia masih lagi di sekolah rendah. Belum mengerti erti hidup sebenarnya. Hina sangatkah dia? Kejamkah Tuhan yang mentaqdirkan dia begitu? Kenapa perlu dia yang menghadapi semua hinaan dan cacian? Semiskin-miskin keluarganya, dia tidak pernah meminta bantuan orang. Susah senang mereka tidak sekali sampai menagih simpati orang.

    “Bapak awak takkan tak mampu nak beli buku murah ini?”
Dia masih boleh terima lagi jika kawan-kawannya sahaja yang mencaci maki. Kiranya masih boleh ditahan. Mungkin sesekali dia menitiskan airmata. Tapi bagaimana pula jika guru yang dianggap mulia selama ini berkata demikian? Mereka ditugaskan untuk mendidik, bukannya mengherdik. Mereka diibaratkan lilin membakar diri, bukannya api yang membakar insan lain. Luka benar hatinya mengingatkan kejadian di hadapan teman-teman sekelasnya itu. Tapi dia redha dengan kehendak Tuhan. Mudah-mudahan ada cahaya di hujung jalan untuknya.


Hinaan dan cercaan manusia menyebabkan dia dipinggirkan. Bukan hanya di dalam kelas. Malah terasa seperti satu sekolah membencinya. Hina sangatkah dia? Apakah dosa-dosa ayahnya perlu ditanggung oleh dirinya? Bukankah ayah telah menerima hukumannya di dunia ini? Biarlah dia pergi dengan tenang. Nasibnya di sana biarlah Tuhan sahaja yang tentukan. Kenapa perlu kita yang menghukum sebelum Dia menghukum? Hina sangatkah menjadi Muna Farhah Wahidah?

    “Sabarlah Kakak... jangan bergaduh dengan orang.. kita orang susah..”
Pesan ibunya berkali-kali bila dia pulang ke rumah dengan baju yang comot. Setiap kali dia menyatakan hasrat hendak membalas balik perlakuan kurang ajar rakan-rakan sekolahnya, ibunya melarang.
    “Tapi bukan Kakak yang mula.. mereka yang cari pasal dengan Kakak..”
Dia membantah. Darah mudanya yang terlalu panas tidak dapat menerima nasihat ibunya. Kalau diikutkan hati, memang sudah lama dia membalas. Tapi setiap kali dia hendak melakukannya, terngiang suara ibunya, terpapar wajah ibunya melarang. Lantas dia membatalkan sahaja niat. Lama-kelamaan dia jadi seorang yang penyabar. Ibu adalah semangatnya. Ibu adalah nyawanya. Ibu juga adalah penawar duka lara dan sepinya. Segala yang dilakukannya hanya untuk Ibu. 


Kalau bukan kerana kemahuan Ibu, dia tidak akan sama sekali jejak ke Sekolah Sains Seri Negeri ini. Biarlah dia bersama Ibu membanting tulang empat kerat. Memotong getah, mengambil upah cuci pakaian, mengambil upah mencuci bangunan dan apa sahaja yang mampu dilakukan. Biarlah adik-adiknya tidak dihina seperti yang dilaluinya dulu.

    “Ibu taknak Kakak berhenti sekolah.. selagi Ibu bernyawa, semua anak-anak Ibu mesti jadi orang pandai.. jangan jadi macam Ibu..”
Airmata Ibu menitis ketika itu di hadapan semua anak-anak. Sebak sungguh Ibu ketika Muna menyatakan hasrat untuk tidak mahu mendaftar ke Sekolah Sains Seri Negeri. Adik-adiknya ketika itu masih kecil. Tidak faham erti kesusahan hidup lagi. Tapi, Ibu berkeras mahu Muna mendaftar. Dan pada hari itulah Muna berjanji pada dirinya bahawa airmata Ibu takkan tumpah lagi kerana sedih, tapi hanya akan tumpah kerana kegembiraan. Ibu akan berada di tempat pertama dalam hatinya selepas Allah dan Rasul.


    “Assalamua'laikum...”
Lamunan Muna terhenti. Tanpa disedari pipinya sudah lama basah dengan airmata. Dia mengesat bekas airmata dengan lengan baju kurungnya lantas berpaling ke belakang.
    “Waalaikumussalam...”
Matanya memandang tak beriak. Setahunya dia tidak pernah nampak wajah di hadapannya itu berkeliaran di S3N. Hampir 5 tahun dia menjadi pelajar di situ, sudah kenal dan macam muka-muka pelajar S3N. Tapi yang ini belum pernah terdaftar di dalam memorinya.
    “Maafkan saya mengganggu.. saya mencari Pejabat Sekolah..”
Cermin mata di atas batang hidung mancungnya dibetulkan letaknya. Dari segi pemakaiannya, dan gaya bahasanya dia bukan orang sekitar sini. Orang luar barangkali.
    “Pejabat di tingkat tiga bangunan Tun Razak..” jawab Muna.
    “Maaf sekali lagi.. bangunan Tun Razak yang mana satu?” Dia memandang ke kiri dan kanan.
Betul juga. Mana satu bangunan Tun Razak? Semua bangunan di S3N ini sama sahaja bentuk dan fizikalnya. Kebetulan pula pihak pentadbiran sedang melakukan kerja-kerja mengecat semula bangunan-bangunan sekolah. Akibatnya, semua nama-nama bangunan terpadam begitu sahaja. Semua bangunan kini berwarna putih. Sama sahaja dipandangan mata.
    “Hujung sana..” Telunjuk dituding ke arah kanan.
    “Hujung sana..?” Wajah dia berkerut.
Hujung sana itu, hujung yang mana satu? Di ‘hujung sana’ itu, mana satu bangunan Tun Razak? Tapi, dia mengundurkan diri juga. Walau pun masih terpinga-pinga dengan jawapan Muna.
    “Nanti...” Muna memanggil.
    “Erm?”
    “Saya tunjukkan bangunan Tun Razak..”
Pensil dan pemadam getah dikemaskan dan dimasukkan ke dalam kotak pensil. Buku latihan Biologi ditutup. Kertas-kertas berterabur di atas lantai pondok itu dikutip dan disusun kemas. Semuanya dimasukkan ke dalam beg sandangnya. Beg disandang ke bahu.



--------------------to be continued---------------------


Glosari:
S3N = Sekolah Sains Seri Negeri...



Hasil Karya, 
Hafeiz Suhaimi