Salam.. kita sambung ye..
Kredit ditujukan bat pengarang sebenar :)
Lampu terang benderang menerangi setiap kamar. Asrama Puteri Khadijah dan Aishah yang betul-betul menghadap ke arah Masjid Seri Negeri itu melempiaskan cahayanya ke laman. Aktiviti malam di asrama seperti rutin. Belajar. Berborak. Main 'games'. Mandi. Makan. Solat. Tidur. Mana yang paling kerap dilakukan? Sudah pasti main 'games' dan tidur. Berapa kerat yang belajar dan membuat latih tubi? Boleh dibilang jari gamaknya. Tetapi itu sudah menjadi kebiasaan bagi pelajar-pelajar. Alam remaja perlu juga diisi dengan pengalaman manis dan tidak dapat dihindari juga dari diisi pengalaman pahit dan kelat. Barulah masa tua nanti dada penuh dengan pengalaman.
Di dalam Dorm Khadijah A1, semua ahlinya terdiri daripada pelajar-pelajar senior. Dorm yang paling disegani di asrama Khadijah. Bukan sahaja kerana ahlinya terdiri daripada senior-senior, tapi kerana hampir semua ketua-ketua badan pelajar di sekolah menghuni dorm itu. Penting sangatkah dengan jawatan dan pangkat untuk menghuni dorm itu? Mungkin ya pada sesetengah orang tetapi tidak bagi sesetengah orang.
Muna Farhah Wahidah.
Nama yang agak asing di kalangan pelajar. Bukan kerana dia pelajar baru atau kerana dia itu 'makhluk asing'. Mendengar nama itu sahaja, semua akan membayangkan seorang gadis yang selalu ke sana ke mari dengan buku, pensil mekanikal, pemadam Faber Castel, kertas kosong dan juga sebuah buku. Gayanya yang selalu sahaja bersendirian itu membuatkan ramai pelajar di situ mengatakan dia pelajar kera sumbang. Tidak tahu bergaul. Malah ada juga yang menuduh dia seorang yang sombong. Tidak banyak bercakap, senyumannya sangat mahal, sepatah ditanya setengah patah sahaja dijawab.
"Syyy.. kera sumbang..." bisik Ijoi kepada teman-temannya bila melihat Muna berjalan seorang diri menuju ke masjid. Tawa berderai di kalangan mereka. Muna tahu. Dia adalah subjek perbincangan mereka. Dia sudah tahu. Sudah bertahun dia lalui situasi sebegitu. Dia redha. Mungkin itu ujian Allah untuk dia. Mungkin ujian untuk dirinya berbeza dari manusia lain. Apa yang perlu dilakukan hanyalah pekakkan telinga, butakan mata dan telan apa sahaja yang dikatakan kepadanya.
"Muna.... Muna.... tunggu..." Tubuh Muna terhenti seketika mendengar namanya dipanggil seseorang. Dia memalingkan kepala yang berbalut telekung biru gelap itu. Muna Farhah Wahidah memang seorang yang istimewa. Dia lain dari yang lain. Di dalam masjid, dia seorang sahaja bertelekung biru gelap. Yang lain semuanya bertelekung putih. Semua muslimat sudah kenal dengan telekung itu. Ada yang nakal menuduhnya berfahaman Syiah. Tapi tidak diendahkan tuduhan liar sebegitu.
"Ada apa Lina...?" suara datar Muna bertanya setelah Nurlailina menghampirinya. al-Quran di dalam pelukannya didekatkan ke dada.
"Muna ini kalau nak pergi masjid tu, tunggulah Lina... tak elok jalan seorang diri..." jawab Lina beriringan dengan Muna. Langkah mula digerakkan semula.
"Allah kan ada..." balas Muna ringkas. Dia tersenyum memandang Lina. Mungkin terfikir sesuatu. Senyuman Muna dibalas semula oleh Lina.
"Malam ini Muna busy tak?" Lina menukar topik perbualan.
"Kenapa?"
"Nak minta tolong ajarkan Add Maths... susahlah Muna... pening Lina fikir jawapan.."
"Datang dorm saya lepas Isyak... bawa semua buku rujukan..." balas Muna sambil menepuk bahu Lina. Hanya Lina yang selalu berusaha merapatkan diri dengan Muna.
"ok... thanks Muna..."
"Sama-sama.."
Allahuakbar Allahuakbar...
Azan berkumandang dari corong pembesar suara masjid. Suara Aznan; rakan sekelas Muna. Pastinya malam ini solat Isyak diimamkan Qushairy. Selalunya begitulah jadual bertugas imam dan bilal di masjid sekolah itu. Setiap imam mempunyai bilal sendiri. Imam Qushairy bilalnya Aznan, Imam Humaidi bilalnya Muhamad, Imam Nazmi bilalnya Hamdan dan lain-lain lagi. Penggiliran dibuat oleh Ikatan Pelajar Islam Sekolah Sains Seri Negeri. Muna memasuki dewan solat Muslimat di tingkat atas masjid beriringan dengan Lina. Jemaah muslimat sudah ramai. Sedang menunaikan solat sunat sebelum Isyak.
-------------to be continued-------------------
Hasil karya,
Hafeiz Suhaimi
Thursday, November 25, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 babblings:
Post a Comment