Monday, January 03, 2011

Namaku Muna~3~

Salam..Sedikit perkongsian buat antum..saya dah khatam dah cerita ni..
Sebuah cerpen islamik yang mempunyai banyak pengisian dan pengajaran..ada masa bacalah ya kawan2..:)
Kredit ditujukan buat pengarang sebenar



Episod 3
----------


Satu.. dua.. tiga.. empat..
Langkah diatur satu persatu perlahan-lahan mendekati bangunan makmal Biologi. Pohon-pohon bunga raya memenuhi ruang mata. Angin petang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Liuk lentok bunga raya seperti menari-nari mengikut irama bayu. Sesekali wajahnya diraup. Dia menghirup udara petang di bawah pondok kecil di hadapan Makmal Biologi Ibnu Sina. Pondok itu sudah sebati dengan kehidupannya semenjak bergelar pelajar Sekolah Sains Seri Negeri. Setiap petang dia menghabiskan masanya di situ.

Sama ada menyiapkan tugasan kerja rumah yang menimbun itu. Atau pun memenuhi hobinya. Kadangkala hanya sekadar menghabiskan masa terluang dengan meneliti isi-isi kandungan naskhah Tafsir al-Quran yang sentiasa menjadi peneman setianya. Muna Farhah Wahidah lebih selesa menjadi ‘kera sumbang’ dari menghabiskan masanya dengan kerja-kerja yang tidak berfaedah. Dia bukanlah seorang anak yang bertuah. Dia bukan seperti Sharifah Khalishah atau Engku Munawarah atau pun Puteri Azhani. Mereka berketurunan, punya keluarga baik-baik dan yang paling dipandang manusia biasa; mereka dari keluarga berada.

Satu sen bagi Muna sangat berharga, tetapi dibuat sedekah sahaja pada mereka yang berduit. Muna perlu tabahkan dirinya. Dia perlu menjadi seperti ikan di dalam laut, walau pun hidup di air masin tapi isinya tetap manis. Dia tidak boleh leka dengan hiburan dan kegembiraan semata. Dia memikul tanggungjawab yang besar sebagai pelajar, anak, kakak dan yang paling penting sebagai hamba kepadaNya. Lumrah hidup seorang miskin hina sepertinya, ke mana pergi dipandang jelek. Dia sudah masak dengan semua itu. Sudah lali dengan caci maki manusia.

    “Eiii kotornya baju awak... tak basuh ke?”
Kawan-kawan sekelilingnya ketawa berdekah-dekah. Hati mana yang tidak pedih dan terguris bila dihina di hadapan pelajar-pelajar lain. Memang dia miskin. Tidak punya wang yang banyak seperti mereka. Tapi apakah itu maknanya dia layak dihina dan dikeji seperti najis. Bukankah anak Adam itu mulia di sisi Allah? Muna menangis teresak-esak sambil berlari meninggalkan rakan-rakannya. Niat asalnya untuk tumpang bermain batu seremban dimatikan begitu sahaja. Kalau kanak-kanak sekecil mereka yang masih bersekolah rendah lagi sudah mendiskriminasikan pangkat dan kekayaan, bagaimana pula jika mereka dewasa?

    “Busuklah awak ini... pergi duduk jauh-jauhlah...”
Kata-kata hinaan dari rakannya ketika dia hendak menjamah nasi goreng bekalan ibunya. Ketika itu dia masih lagi di sekolah rendah. Belum mengerti erti hidup sebenarnya. Hina sangatkah dia? Kejamkah Tuhan yang mentaqdirkan dia begitu? Kenapa perlu dia yang menghadapi semua hinaan dan cacian? Semiskin-miskin keluarganya, dia tidak pernah meminta bantuan orang. Susah senang mereka tidak sekali sampai menagih simpati orang.

    “Bapak awak takkan tak mampu nak beli buku murah ini?”
Dia masih boleh terima lagi jika kawan-kawannya sahaja yang mencaci maki. Kiranya masih boleh ditahan. Mungkin sesekali dia menitiskan airmata. Tapi bagaimana pula jika guru yang dianggap mulia selama ini berkata demikian? Mereka ditugaskan untuk mendidik, bukannya mengherdik. Mereka diibaratkan lilin membakar diri, bukannya api yang membakar insan lain. Luka benar hatinya mengingatkan kejadian di hadapan teman-teman sekelasnya itu. Tapi dia redha dengan kehendak Tuhan. Mudah-mudahan ada cahaya di hujung jalan untuknya.


Hinaan dan cercaan manusia menyebabkan dia dipinggirkan. Bukan hanya di dalam kelas. Malah terasa seperti satu sekolah membencinya. Hina sangatkah dia? Apakah dosa-dosa ayahnya perlu ditanggung oleh dirinya? Bukankah ayah telah menerima hukumannya di dunia ini? Biarlah dia pergi dengan tenang. Nasibnya di sana biarlah Tuhan sahaja yang tentukan. Kenapa perlu kita yang menghukum sebelum Dia menghukum? Hina sangatkah menjadi Muna Farhah Wahidah?

    “Sabarlah Kakak... jangan bergaduh dengan orang.. kita orang susah..”
Pesan ibunya berkali-kali bila dia pulang ke rumah dengan baju yang comot. Setiap kali dia menyatakan hasrat hendak membalas balik perlakuan kurang ajar rakan-rakan sekolahnya, ibunya melarang.
    “Tapi bukan Kakak yang mula.. mereka yang cari pasal dengan Kakak..”
Dia membantah. Darah mudanya yang terlalu panas tidak dapat menerima nasihat ibunya. Kalau diikutkan hati, memang sudah lama dia membalas. Tapi setiap kali dia hendak melakukannya, terngiang suara ibunya, terpapar wajah ibunya melarang. Lantas dia membatalkan sahaja niat. Lama-kelamaan dia jadi seorang yang penyabar. Ibu adalah semangatnya. Ibu adalah nyawanya. Ibu juga adalah penawar duka lara dan sepinya. Segala yang dilakukannya hanya untuk Ibu. 


Kalau bukan kerana kemahuan Ibu, dia tidak akan sama sekali jejak ke Sekolah Sains Seri Negeri ini. Biarlah dia bersama Ibu membanting tulang empat kerat. Memotong getah, mengambil upah cuci pakaian, mengambil upah mencuci bangunan dan apa sahaja yang mampu dilakukan. Biarlah adik-adiknya tidak dihina seperti yang dilaluinya dulu.

    “Ibu taknak Kakak berhenti sekolah.. selagi Ibu bernyawa, semua anak-anak Ibu mesti jadi orang pandai.. jangan jadi macam Ibu..”
Airmata Ibu menitis ketika itu di hadapan semua anak-anak. Sebak sungguh Ibu ketika Muna menyatakan hasrat untuk tidak mahu mendaftar ke Sekolah Sains Seri Negeri. Adik-adiknya ketika itu masih kecil. Tidak faham erti kesusahan hidup lagi. Tapi, Ibu berkeras mahu Muna mendaftar. Dan pada hari itulah Muna berjanji pada dirinya bahawa airmata Ibu takkan tumpah lagi kerana sedih, tapi hanya akan tumpah kerana kegembiraan. Ibu akan berada di tempat pertama dalam hatinya selepas Allah dan Rasul.


    “Assalamua'laikum...”
Lamunan Muna terhenti. Tanpa disedari pipinya sudah lama basah dengan airmata. Dia mengesat bekas airmata dengan lengan baju kurungnya lantas berpaling ke belakang.
    “Waalaikumussalam...”
Matanya memandang tak beriak. Setahunya dia tidak pernah nampak wajah di hadapannya itu berkeliaran di S3N. Hampir 5 tahun dia menjadi pelajar di situ, sudah kenal dan macam muka-muka pelajar S3N. Tapi yang ini belum pernah terdaftar di dalam memorinya.
    “Maafkan saya mengganggu.. saya mencari Pejabat Sekolah..”
Cermin mata di atas batang hidung mancungnya dibetulkan letaknya. Dari segi pemakaiannya, dan gaya bahasanya dia bukan orang sekitar sini. Orang luar barangkali.
    “Pejabat di tingkat tiga bangunan Tun Razak..” jawab Muna.
    “Maaf sekali lagi.. bangunan Tun Razak yang mana satu?” Dia memandang ke kiri dan kanan.
Betul juga. Mana satu bangunan Tun Razak? Semua bangunan di S3N ini sama sahaja bentuk dan fizikalnya. Kebetulan pula pihak pentadbiran sedang melakukan kerja-kerja mengecat semula bangunan-bangunan sekolah. Akibatnya, semua nama-nama bangunan terpadam begitu sahaja. Semua bangunan kini berwarna putih. Sama sahaja dipandangan mata.
    “Hujung sana..” Telunjuk dituding ke arah kanan.
    “Hujung sana..?” Wajah dia berkerut.
Hujung sana itu, hujung yang mana satu? Di ‘hujung sana’ itu, mana satu bangunan Tun Razak? Tapi, dia mengundurkan diri juga. Walau pun masih terpinga-pinga dengan jawapan Muna.
    “Nanti...” Muna memanggil.
    “Erm?”
    “Saya tunjukkan bangunan Tun Razak..”
Pensil dan pemadam getah dikemaskan dan dimasukkan ke dalam kotak pensil. Buku latihan Biologi ditutup. Kertas-kertas berterabur di atas lantai pondok itu dikutip dan disusun kemas. Semuanya dimasukkan ke dalam beg sandangnya. Beg disandang ke bahu.



--------------------to be continued---------------------


Glosari:
S3N = Sekolah Sains Seri Negeri...



Hasil Karya, 
Hafeiz Suhaimi

Thursday, November 25, 2010

Namaku Muna~2~

Salam.. kita sambung ye..
Kredit ditujukan bat pengarang sebenar :)


Lampu terang benderang menerangi setiap kamar. Asrama Puteri Khadijah dan Aishah yang betul-betul menghadap ke arah Masjid Seri Negeri itu melempiaskan cahayanya ke laman. Aktiviti malam di asrama seperti rutin. Belajar. Berborak. Main 'games'. Mandi. Makan. Solat. Tidur. Mana yang paling kerap dilakukan? Sudah pasti main 'games' dan tidur. Berapa kerat yang belajar dan membuat latih tubi? Boleh dibilang jari gamaknya. Tetapi itu sudah menjadi kebiasaan bagi pelajar-pelajar. Alam remaja perlu juga diisi dengan pengalaman manis dan tidak dapat dihindari juga dari diisi pengalaman pahit dan kelat. Barulah masa tua nanti dada penuh dengan pengalaman.

Di dalam Dorm Khadijah A1, semua ahlinya terdiri daripada pelajar-pelajar senior. Dorm yang paling disegani di asrama Khadijah. Bukan sahaja kerana ahlinya terdiri daripada senior-senior, tapi kerana hampir semua ketua-ketua badan pelajar di sekolah menghuni dorm itu. Penting sangatkah dengan jawatan dan pangkat untuk menghuni dorm itu? Mungkin ya pada sesetengah orang tetapi tidak bagi sesetengah orang.

Muna Farhah Wahidah.

Nama yang agak asing di kalangan pelajar. Bukan kerana dia pelajar baru atau kerana dia itu 'makhluk asing'. Mendengar nama itu sahaja, semua akan membayangkan seorang gadis yang selalu ke sana ke mari dengan buku, pensil mekanikal, pemadam Faber Castel, kertas kosong dan juga sebuah buku. Gayanya yang selalu sahaja bersendirian itu membuatkan ramai pelajar di situ mengatakan dia pelajar kera sumbang. Tidak tahu bergaul. Malah ada juga yang menuduh dia seorang yang sombong. Tidak banyak bercakap, senyumannya sangat mahal, sepatah ditanya setengah patah sahaja dijawab.

    "Syyy.. kera sumbang..." bisik Ijoi kepada teman-temannya bila melihat Muna berjalan seorang diri menuju ke masjid. Tawa berderai di kalangan mereka. Muna tahu. Dia adalah subjek perbincangan mereka. Dia sudah tahu. Sudah bertahun dia lalui situasi sebegitu. Dia redha. Mungkin itu ujian Allah untuk dia. Mungkin ujian untuk dirinya berbeza dari manusia lain. Apa yang perlu dilakukan hanyalah pekakkan telinga, butakan mata dan telan apa sahaja yang dikatakan kepadanya.

    "Muna.... Muna.... tunggu..." Tubuh Muna terhenti seketika mendengar namanya dipanggil seseorang. Dia memalingkan kepala yang berbalut telekung biru gelap itu. Muna Farhah Wahidah memang seorang yang istimewa. Dia lain dari yang lain. Di dalam masjid, dia seorang sahaja bertelekung biru gelap. Yang lain semuanya bertelekung putih. Semua muslimat sudah kenal dengan telekung itu. Ada yang nakal menuduhnya berfahaman Syiah. Tapi tidak diendahkan tuduhan liar sebegitu.

    "Ada apa Lina...?" suara datar Muna bertanya setelah Nurlailina menghampirinya. al-Quran di dalam pelukannya didekatkan ke dada.

    "Muna ini kalau nak pergi masjid tu, tunggulah Lina... tak elok jalan seorang diri..." jawab Lina beriringan dengan Muna. Langkah mula digerakkan semula.

    "Allah kan ada..." balas Muna ringkas. Dia tersenyum memandang Lina. Mungkin terfikir sesuatu. Senyuman Muna dibalas semula oleh Lina.

    "Malam ini Muna busy tak?" Lina menukar topik perbualan.

    "Kenapa?"

    "Nak minta tolong ajarkan Add Maths... susahlah Muna... pening Lina fikir jawapan.."

    "Datang dorm saya lepas Isyak... bawa semua buku rujukan..." balas Muna sambil menepuk bahu Lina. Hanya Lina yang selalu berusaha merapatkan diri dengan Muna.

    "ok... thanks Muna..."

    "Sama-sama.."

Allahuakbar Allahuakbar...
Azan berkumandang dari corong pembesar suara masjid. Suara Aznan; rakan sekelas Muna. Pastinya malam ini solat Isyak diimamkan Qushairy. Selalunya begitulah jadual bertugas imam dan bilal di masjid sekolah itu. Setiap imam mempunyai bilal sendiri. Imam Qushairy bilalnya Aznan, Imam Humaidi bilalnya Muhamad, Imam Nazmi bilalnya Hamdan dan lain-lain lagi. Penggiliran dibuat oleh Ikatan Pelajar Islam Sekolah Sains Seri Negeri. Muna memasuki dewan solat Muslimat di tingkat atas masjid beriringan dengan Lina. Jemaah muslimat sudah ramai. Sedang menunaikan solat sunat sebelum Isyak.



-------------to be continued-------------------



Hasil karya,
Hafeiz Suhaimi

Thursday, November 18, 2010

Namaku Muna~1~

Salam..Sedikit perkongsian buat antum..saya dah khatam dah cerita ni..
Sebuah cerpan islamik yang mempunyai banyak pengisian dan pengajaran..ada masa bacalah ya kawan2..:)
Kredit ditujukan buat pengarang sebenar


Episod Pengenalan
----------------------


Satu.. dua.. tiga.. empat..

Gadis bermata kuyu dengan cermin mata tak berbingkai itu kelihatan terbongkok-bongkok membaca buku di atas pangkin di bawah pondok di hujung padang permainan. Dia tidak memperdulikan pelajar-pelajar lain yang lalu lalang menuju ke arah kantin. Dia asyik sahaja dengan buku dan peralatan menulis di situ. Semua yang lalu di situ memandang kepada gadis itu penuh tanda tanya. Pelik agaknya melihat gelagat gadis itu.

Krriiiiinnnggg.....

Loceng sekolah berbunyi menandakan waktu rehat sudah tamat. Pelajar-pelajar berpusu-pusu balik ke kelas masing-masing. Ada yang masih sempat lagi nak menghabiskan air minuman di dalam plastik. Yang sedang mundar mandir di koridor kelas juga masih banyak.

Sementara itu di dalam kelas Tingkatan 5 Sains Ibnu Sina...

    "Attention class!!! Miss Anne tak datang hari ini... so ngkorang buat kerja sendiri lah ek..." suara Mujahid, Ketua Tingkatan membuat pengumuman sambil melangkah masuk ke dalam kelas. Setiap mata terpaku padanya. Semua ahli kelas memapar wajah lega mendengar berita baik itu. Siapa yang tidak kenal dengan Miss Anne; guru Matematik Tambahan yang garangnya tahap melampau itu. Sekali dipandang, kecut habis perut.

Suasana yang tadi diam, mula bertukar bising. Sudah jadi seperti pasar ikan. Nama sahaja kelas Sains. Kononnya pelajar terpilih. Tapi perangai sama sahaja dengan kelas lain. Bila tiada guru di dalam kelas, bising memanjang. Kalau ada pun, berapa kerat sangatlah yang meneruskan mentelaah pelajaran. SPM tidak lama lagi seperti tidak memberikan sebarang ingatan pada mereka untuk meningkatkan usaha menimba sebanyak ilmu dan membuat latih tubi sebanyak mungkin.

    "Nasib baik lah cikgu kesayangan hang tu tak mai hari ini... kalau tak... teruklah kita.." Che Ah bersuara di belakang. Tangannya menepis lengan Uda di sisi. Anak mami seorang itu memang terlebih ramah selalunya.
    "Hai kau kan selalu dok sebut-sebut nama dia... kau lah anak emas dia.." balas Uda.


Satu... dua... tiga... empat...

Selesai. Pena mata bola di tangannya ditutup. Buku latihan setebal 120 muka surat itu juga ditutup. Terpampang di bahagian depan kulitnya lencana sekolah. Sekolah Sains Seri Negeri. Pelipisnya rasa berdenyut-denyut. Mungkin kerana terlalu lama berfikir. Mana tidaknya, matematik tambahan bukannya semudah 1 + 2 = 3. 1 + 2 = Nak berapa pun boleh. Pengamiran, janjang arithmatik, janjang geometri dan sebagainya sudah menjadi bahan mainan harian mereka sekelas. Selain itu, formula-formula kimia, fizik dan nama-nama pelik di dalam Biologi juga sudah sebati dengan jiwa sejak Tingkatan 1 lagi.

Osmosis, hemolisis, krenasi. Aduh. Peliknya. Belum dikira dengan bab sistem klasifikasi tumbuhan dan haiwan. Binomial Linnaeus.

Osmosis is the movement of water molecules from an area of high concentration to an area of low concentration. Pergerakan molekul air dari kawasan berketumpatan tinggi ke kawasan berketumpatan rendah. Hemolysis is the breaking open of red blood cells and the release of hemoglobin into the surrounding fluid. Aduh. Banyaknya istilah yang perlu disumbat ke dalam otak.

Rilekslah sekejap. Pensil mekanikal dan kertas kosong berwarna putih sudah sedia di atas meja. Ligat mata pensil menari-nari mengikut rentak jari jemari yang halus mulus di atas kertas kosong itu. Luahan rasa seseorang berbeza antara satu sama lain. Ada sesetengah manusia suka meluahkan perasaan mereka dengan berbual dan melakukan aktiviti luar, ada yang suka menulis cerpen atau novel untuk mencurahkannya, bagi yang berbakat; melukis adalah satu cara yang sesuai. Hanya yang memahami erti seni sahaja dapat membaca apa yang tersirat dari yang tersurat di dalam lukisan.

Mata pensil mekanikal itu masih galak melakukan larikan dan lorekan. Sesekali pemadam Faber Castel menjalankan tugasnya. Sesekali tangannya berhenti memerhatikan hasil kerja yang masih belum siap itu. Sesekali dia menyengetkan kepalanya. Suasana hingar bingar di sekeliling seolah-olah tidak memberikan apa-apa kesan kepadanya. Dia hanya berada di dalam kelas, tetapi di alam lain. Alamnya sendiri. Tiada siapa yang mengganggu. Atau mungkinkah tiada siapa yang sudi 'mengganggu'?




------------------to be continued-------------------



Hasil karya,
Hafeiz Suhaimi
beliau merupakan mahasiswa perubatan di institusi tempatan semasa mengarang cerita ini..
sekarang xtau..hehe

Saturday, November 06, 2010

SPECIAL 4 BUNGA2 DI TAMAN D3

Tentang ayah


Biasanya, bagi seorang anak perempuan yang sudah dewasa, yang sedang bekerja diperantauan, yang ikut suaminya merantau di luar kota atau luar negeri,yang sedang bersekolah atau kuliah jauh dari kedua orang tuanya...Akan sering merasa rindu sekali dengan ibunya..Lalu bagaimana dengan AYAH?


Mungkin kerana ibu lebih sering menelefon untuk menanyakan keadaanmu setiap hari, tapi tahukah kamu, jika ternyata ayah-lah yang mengingatkan ibu untuk menelefonmu?


Mungkin dulu sewaktu kamu kecil, ibu-lah yang lebih sering mengajakmu bercerita atau berdongeng, tapi tahukah kamu, bahwa sekembalinya ayah dr bekerja dan dengan wajah lelah ayah selalu menanyakan pada ibu tentang khabarmu dan apa yang kau lakukan seharian?


Pada saat dirimu masih seorang anak perempuan kecil.Ayah biasanya mengajari putri kecilnya naik basikal .Dan setelah ayah mengganggapmu sudah boleh menunggangnya, ayah akan melepaskan roda bantu di basikalmu .Kemudian Ibu bilang : "Jangan dulu ayahnya, jangan ditanggalkan dulu roda bantunya", itu kerana ibu takut puteri manisnya akan terjatuh lalu terluka....


Tapi sedarkah dikau? Bahwa ayah dengan yakin akan membiarkanmu, menatapmu, dan menjagamu mengayuh basikal dengan seksama kerana dia tahu puteri kecilnya PASTI mampu melakukannya.


Pada saat kamu menangis merengek meminta alat permainan yang baru, ibu menatapmu hiba.Tetapi ayah akan mengatakan dengan tegas : "Boleh, kita beli nanti, tapi tidak sekarang" Tahukah kamu, ayah melakukan itu kerana ayah tidak ingin kamu menjadi anak yang manja dengan semua tuntutan yang selalu dapat

dipenuhi.


Saat kamu ditimpa sakit , ayah lah yang terlalu khawatir sampai kekadang sedikit membentak dengan berkata : "Sudah di beritahu! kamu jangan minum air sejuk!".Berbeza dengan ibu yang memperhatikan dan menasihatimu dengan lembut.Ketahuilah, saat itu ayah benar-benar mengkhuatirkan keadaanmu..


Ketika kamu sudah beranjak muda remaja..Kamu mulai menuntut pada ayah untuk mendapat keizinan keluar malam, dan ayah bersikap tegas dan mengatakan: "Tidak boleh!".Tahukah kamu, bahwa ayah melakukan itu untuk menjagamu?Kerana bagi ayah, kamu adalah sesuatu yang sangat - sangat luar biasa berharga..Setelah itu kamu marah pada ayah, dan masuk ke kamar sambil membanting pintu...


Dan yang datang mengetok pintu dan memujukmu agar tidak marah adalah ayah.Tahukah kamu,bahwa saat itu ayah memejamkan matanya dan menahan gejolak dalam batinnya, Bahwa ayah sangat ingin mengikuti keinginanmu, Tapi lagi-lagi dia HARUS menjagamu?


Ketika saat seorang teman lelaki mulai sering menelefonmu, atau bahkan datang ke rumah untuk menemuimu,ayah akan memasang wajah paling cool sedunia.... :') ayah sesekali menguping atau mengintip saat kamu sedang berbuall berdua di ruang tamu..Sedarkah kamu, kalau hati ayah merasa cemburu?


Saat kamu mulai lebih dipercaya, dan ayah melonggarkan sedikit peraturan untuk keluar rumah untukmu, kamu akan memaksa untuk melanggar jam malamnya.Maka yang dilakukan ayah adalah duduk di ruang tamu, dan menunggumu pulang dengan hati yang sangat khuatirdan bimbang.Dan setelah perasaan khuatir itu berlarut - larut.Ketika melihat puteri kecilnya pulang larut malam hati ayah akan mengeras dan memarahimu..Sedarkah kamu, bahwa ini kerana hal yang di sangat ditakuti ayah akan segera datang? "Bahwa puteri kecilnya akan segera pergi meninggalkannya"


Setelah lulus SPM, Ayah akan sedikit memaksamu untuk menjadi seorang Doktor atau Engineer. Ketahuilah, bahwa seluruh paksaan yang dilakukan ayah itu semata - mata hanya karena memikirkan masa depanmu nanti.Tapi ayah tetap tersenyum dan menyokongmu saat pilihanmu tidak sesuai dengan keinginan ayah.


Ketika kamu menjadi gadis dewasa.Dan kamu harus pergi kuliah dikota lain.ayah harus melepaskanmu di bandar.Tahukah kamu bahwa badan ayah terasa kaku untuk memelukmu? Ayah hanya tersenyum sambil memberi nasihat ini - itu, dan menyuruhmu untuk berhati-hati.Padahal ayah ingin sekali menangis seperti ibu dan memelukmu erat-erat.Yang ayah lakukan hanya menghapus sedikit air mata di sudut matanya, dan menepuk pundakmu berkata "Jaga dirimu baik-baik ya sayang".Ayah melakukan itu semua agar kamu KUAT....kuat untuk pergi dan menjadi dewasa.


Disaat kamu kesempitan wang untuk membiayai perbelanjaan semester dan kehidupanmu, orang pertama yang mengerutkan kening adalah ayah. Ayah pasti berusaha keras mencari jalan agar anaknya boleh merasa sama dengan teman-temannya yang lain.Ketika permintaanmu bukan lagi sekadar meminta alat mainan yang baru, dan ayah tahu ia tidak mampu memberikan apa yang kamu inginkan...


Kata-kata yang keluar dari mulut Ayah adalah : "Tidak.... Tidak boleh!" Padahal dalam batin Ayah, Ia sangat ingin mengatakan "Iya sayang, nanti ayah belikan untukmu".Tahukah kamu bahwa pada saat itu Ayah merasa gagal membuat anaknya tersenyum?


Saatnya kamu berjaya sebagai seorang sarjana. Ayah adalah orang pertama yang berdiri dan memberi tepuk tangan untukmu.Ayah akan tersenyum dengan bangga dan puas melihat "puteri kecilnya yang tidak manja berhasil tumbuh dewasa, dan telah menjadi seseorang" Sampai saat seorang teman Lelakimu datang ke rumah dan meminta izin pada ayah untuk mengambilmu darinya.Papa akan sangat berhati-hati memberikan izin..Kerana Ayah tahu.....Bahwa lelaki itulah yang akan menggantikan posisinya nanti.


Dan akhirnya....


Saat ayah melihatmu duduk di kerusi pelaminan bersama seseorang Lelaki yang di anggapnya mampu menggantikannya, Ayah pun tersenyum bahagia..Apakah kamu mengetahui, di hari yang bahagia itu ayah pergi kebelakang pentas pelaminan sebentar, dan menangis? Ayah menangis karena ayah sangat berbahagia, kemudian ayah berdoa....Dalam lirih doanya kepada Tuhan, Ayah berkata: "Ya Allah tugasku telah selesai dengan baik....Puteri kecilku yang lucu dan kucintai telah menjadi wanita solehah yang cantik....Bahagiakanlah dia bersama suaminya...rahmatilah kehidupan mereka Ya Allah"


Setelah itu Ayah hanya mampu menunggu kedatanganmu bersama cucu-cucunya yang sesekali datang untuk menjenguk...Dengan rambut yang telah dan semakin memutih....Dan badan serta lengan yang tak lagi kuat untuk menjagamu dari bahaya....Ayah telah menyelesaikan tugasnya....Papa, Ayah, Bapak, atau Abah kita...Adalah sosok yang harus selalu terlihat kuat...Bahkan ketika dia tidak kuat untuk tidak menangis...Dia harus terlihat tegas bahkan saat dia ingin memanjakanmu.Dan dia adalah yang orang pertama yang selalu yakin bahwa "KAMU MAMPU" dalam segala hal..