Monday, January 03, 2011

Namaku Muna~3~

Salam..Sedikit perkongsian buat antum..saya dah khatam dah cerita ni..
Sebuah cerpen islamik yang mempunyai banyak pengisian dan pengajaran..ada masa bacalah ya kawan2..:)
Kredit ditujukan buat pengarang sebenar



Episod 3
----------


Satu.. dua.. tiga.. empat..
Langkah diatur satu persatu perlahan-lahan mendekati bangunan makmal Biologi. Pohon-pohon bunga raya memenuhi ruang mata. Angin petang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Liuk lentok bunga raya seperti menari-nari mengikut irama bayu. Sesekali wajahnya diraup. Dia menghirup udara petang di bawah pondok kecil di hadapan Makmal Biologi Ibnu Sina. Pondok itu sudah sebati dengan kehidupannya semenjak bergelar pelajar Sekolah Sains Seri Negeri. Setiap petang dia menghabiskan masanya di situ.

Sama ada menyiapkan tugasan kerja rumah yang menimbun itu. Atau pun memenuhi hobinya. Kadangkala hanya sekadar menghabiskan masa terluang dengan meneliti isi-isi kandungan naskhah Tafsir al-Quran yang sentiasa menjadi peneman setianya. Muna Farhah Wahidah lebih selesa menjadi ‘kera sumbang’ dari menghabiskan masanya dengan kerja-kerja yang tidak berfaedah. Dia bukanlah seorang anak yang bertuah. Dia bukan seperti Sharifah Khalishah atau Engku Munawarah atau pun Puteri Azhani. Mereka berketurunan, punya keluarga baik-baik dan yang paling dipandang manusia biasa; mereka dari keluarga berada.

Satu sen bagi Muna sangat berharga, tetapi dibuat sedekah sahaja pada mereka yang berduit. Muna perlu tabahkan dirinya. Dia perlu menjadi seperti ikan di dalam laut, walau pun hidup di air masin tapi isinya tetap manis. Dia tidak boleh leka dengan hiburan dan kegembiraan semata. Dia memikul tanggungjawab yang besar sebagai pelajar, anak, kakak dan yang paling penting sebagai hamba kepadaNya. Lumrah hidup seorang miskin hina sepertinya, ke mana pergi dipandang jelek. Dia sudah masak dengan semua itu. Sudah lali dengan caci maki manusia.

    “Eiii kotornya baju awak... tak basuh ke?”
Kawan-kawan sekelilingnya ketawa berdekah-dekah. Hati mana yang tidak pedih dan terguris bila dihina di hadapan pelajar-pelajar lain. Memang dia miskin. Tidak punya wang yang banyak seperti mereka. Tapi apakah itu maknanya dia layak dihina dan dikeji seperti najis. Bukankah anak Adam itu mulia di sisi Allah? Muna menangis teresak-esak sambil berlari meninggalkan rakan-rakannya. Niat asalnya untuk tumpang bermain batu seremban dimatikan begitu sahaja. Kalau kanak-kanak sekecil mereka yang masih bersekolah rendah lagi sudah mendiskriminasikan pangkat dan kekayaan, bagaimana pula jika mereka dewasa?

    “Busuklah awak ini... pergi duduk jauh-jauhlah...”
Kata-kata hinaan dari rakannya ketika dia hendak menjamah nasi goreng bekalan ibunya. Ketika itu dia masih lagi di sekolah rendah. Belum mengerti erti hidup sebenarnya. Hina sangatkah dia? Kejamkah Tuhan yang mentaqdirkan dia begitu? Kenapa perlu dia yang menghadapi semua hinaan dan cacian? Semiskin-miskin keluarganya, dia tidak pernah meminta bantuan orang. Susah senang mereka tidak sekali sampai menagih simpati orang.

    “Bapak awak takkan tak mampu nak beli buku murah ini?”
Dia masih boleh terima lagi jika kawan-kawannya sahaja yang mencaci maki. Kiranya masih boleh ditahan. Mungkin sesekali dia menitiskan airmata. Tapi bagaimana pula jika guru yang dianggap mulia selama ini berkata demikian? Mereka ditugaskan untuk mendidik, bukannya mengherdik. Mereka diibaratkan lilin membakar diri, bukannya api yang membakar insan lain. Luka benar hatinya mengingatkan kejadian di hadapan teman-teman sekelasnya itu. Tapi dia redha dengan kehendak Tuhan. Mudah-mudahan ada cahaya di hujung jalan untuknya.


Hinaan dan cercaan manusia menyebabkan dia dipinggirkan. Bukan hanya di dalam kelas. Malah terasa seperti satu sekolah membencinya. Hina sangatkah dia? Apakah dosa-dosa ayahnya perlu ditanggung oleh dirinya? Bukankah ayah telah menerima hukumannya di dunia ini? Biarlah dia pergi dengan tenang. Nasibnya di sana biarlah Tuhan sahaja yang tentukan. Kenapa perlu kita yang menghukum sebelum Dia menghukum? Hina sangatkah menjadi Muna Farhah Wahidah?

    “Sabarlah Kakak... jangan bergaduh dengan orang.. kita orang susah..”
Pesan ibunya berkali-kali bila dia pulang ke rumah dengan baju yang comot. Setiap kali dia menyatakan hasrat hendak membalas balik perlakuan kurang ajar rakan-rakan sekolahnya, ibunya melarang.
    “Tapi bukan Kakak yang mula.. mereka yang cari pasal dengan Kakak..”
Dia membantah. Darah mudanya yang terlalu panas tidak dapat menerima nasihat ibunya. Kalau diikutkan hati, memang sudah lama dia membalas. Tapi setiap kali dia hendak melakukannya, terngiang suara ibunya, terpapar wajah ibunya melarang. Lantas dia membatalkan sahaja niat. Lama-kelamaan dia jadi seorang yang penyabar. Ibu adalah semangatnya. Ibu adalah nyawanya. Ibu juga adalah penawar duka lara dan sepinya. Segala yang dilakukannya hanya untuk Ibu. 


Kalau bukan kerana kemahuan Ibu, dia tidak akan sama sekali jejak ke Sekolah Sains Seri Negeri ini. Biarlah dia bersama Ibu membanting tulang empat kerat. Memotong getah, mengambil upah cuci pakaian, mengambil upah mencuci bangunan dan apa sahaja yang mampu dilakukan. Biarlah adik-adiknya tidak dihina seperti yang dilaluinya dulu.

    “Ibu taknak Kakak berhenti sekolah.. selagi Ibu bernyawa, semua anak-anak Ibu mesti jadi orang pandai.. jangan jadi macam Ibu..”
Airmata Ibu menitis ketika itu di hadapan semua anak-anak. Sebak sungguh Ibu ketika Muna menyatakan hasrat untuk tidak mahu mendaftar ke Sekolah Sains Seri Negeri. Adik-adiknya ketika itu masih kecil. Tidak faham erti kesusahan hidup lagi. Tapi, Ibu berkeras mahu Muna mendaftar. Dan pada hari itulah Muna berjanji pada dirinya bahawa airmata Ibu takkan tumpah lagi kerana sedih, tapi hanya akan tumpah kerana kegembiraan. Ibu akan berada di tempat pertama dalam hatinya selepas Allah dan Rasul.


    “Assalamua'laikum...”
Lamunan Muna terhenti. Tanpa disedari pipinya sudah lama basah dengan airmata. Dia mengesat bekas airmata dengan lengan baju kurungnya lantas berpaling ke belakang.
    “Waalaikumussalam...”
Matanya memandang tak beriak. Setahunya dia tidak pernah nampak wajah di hadapannya itu berkeliaran di S3N. Hampir 5 tahun dia menjadi pelajar di situ, sudah kenal dan macam muka-muka pelajar S3N. Tapi yang ini belum pernah terdaftar di dalam memorinya.
    “Maafkan saya mengganggu.. saya mencari Pejabat Sekolah..”
Cermin mata di atas batang hidung mancungnya dibetulkan letaknya. Dari segi pemakaiannya, dan gaya bahasanya dia bukan orang sekitar sini. Orang luar barangkali.
    “Pejabat di tingkat tiga bangunan Tun Razak..” jawab Muna.
    “Maaf sekali lagi.. bangunan Tun Razak yang mana satu?” Dia memandang ke kiri dan kanan.
Betul juga. Mana satu bangunan Tun Razak? Semua bangunan di S3N ini sama sahaja bentuk dan fizikalnya. Kebetulan pula pihak pentadbiran sedang melakukan kerja-kerja mengecat semula bangunan-bangunan sekolah. Akibatnya, semua nama-nama bangunan terpadam begitu sahaja. Semua bangunan kini berwarna putih. Sama sahaja dipandangan mata.
    “Hujung sana..” Telunjuk dituding ke arah kanan.
    “Hujung sana..?” Wajah dia berkerut.
Hujung sana itu, hujung yang mana satu? Di ‘hujung sana’ itu, mana satu bangunan Tun Razak? Tapi, dia mengundurkan diri juga. Walau pun masih terpinga-pinga dengan jawapan Muna.
    “Nanti...” Muna memanggil.
    “Erm?”
    “Saya tunjukkan bangunan Tun Razak..”
Pensil dan pemadam getah dikemaskan dan dimasukkan ke dalam kotak pensil. Buku latihan Biologi ditutup. Kertas-kertas berterabur di atas lantai pondok itu dikutip dan disusun kemas. Semuanya dimasukkan ke dalam beg sandangnya. Beg disandang ke bahu.



--------------------to be continued---------------------


Glosari:
S3N = Sekolah Sains Seri Negeri...



Hasil Karya, 
Hafeiz Suhaimi

1 babblings:

SmS said...

Salam...harap x menggangu ketenangan jiwa dgn soalan cni. sape yg mengepost this story?

Post a Comment