Sunday, February 20, 2011

Namaku Muna~4~

Salam.. 
kredit buat pengarang sebenar


Kecoh satu sekolah dengan berita pelajar baru mendaftar. Bukan kerana sekolah itu tidak pernah mendaftar pelajar baru, tapi kali ini agak mengujakan kerana dia adalah seseorang yang terkenal di kalangan pelajar sekolah berasrama penuh. Seluruh negara menggeruni namanya. Belum lagi bermain hujah dengannya. Rekod tanpa kalahnya di dalam pertandingan debat antara sekolah-sekolah berasrama penuh menjadikan namanya begitu digeruni. Tidak kurang juga yang menjadikan dia sebagai idola mereka, khususnya bagi pendebat-pendebat muda.

Kini bintang yang bergemerlapan itu dimiliki S3N. Dia kini berada di S3N. Dia kini sah menjadi pelajar S3N. Sudah pasti ramai yang bercita-cita untuk bertemu dengannya. Melihat kehebatannya berhujah dan mungkin juga ramai yang menaruh hati padanya. Semenjak semalam desas desus itu sudah bermula. Dari Kedai Koperasi S3N membawa ke Dewan Makan. Dari Makmal Sains ke Perpustakaan Usman Awang. Dari masjid Seri Negeri ke dorm-dorm asrama. Topik banyak berkisar berkenaan hal dia. Besar sungguh aura pendebat itu. Mengalahkan aura Mawi AF3.

    “Muna...” Garfu di tangan mencucuk daging masak hitam di dalam pinggan.
    “....” Pandangan matanya membawa maksud ‘apa?’
    “Kau tak dengar cerita pasal debater tu ke?”
    “entah... penting ke?” Nasi disuapkan ke dalam mulut.
Penting sangatkah untuk Muna mengambil tahu akan hal pendebat terbaik itu? Siapa dia pada Muna? Oh ya. Mungkin sekarang dia sudah menjadi teman sepersekolahan Muna. Tapi siapa peduli semua itu?
    “Muna ini... cerita panas macam tu pun tak tau ke?” Lailina mencebik.
    “Nak buat apa ambik tahu?” Muna menjawab selamba tak beriak.
    “Hmmm...” Mati ayat.

Dari jauh kelihatan dua orang pelajar lelaki sedang menuju ke arah meja makan tempat Lailina dan Muna sedang menikmati juadah tengahari.

    “Assalamualaikum...” Salah seorang dari mereka memberikan salam.
Muna tunduk memandang biji-biji nasi di dalam pinggan. Dia tidak betah berada di hadapan lelaki seperti itu.
    “Waalaikumussalam...” Nurlailina mewakili Muna untuk menjawab salam pelajar tersebut.
    “Saya nak ucapkan terima kasih pasal semalam...” Suara itu datar tapi lembut.
    “....” Muna menganggukkan kepala tanda ‘sama-sama’.
    “By the way, saya Syed Abrisam Adli...” Renungannya itu membawa maksud ‘Siapa nama awak pula?’.
Muna masih diam. Nasi putih di dalam pinggan seperti terbakar dek renungan tajamnya. Mulut masih terkunci. Dia gamam. Tidak pernah lelaki sudi memperkenalkan diri kepadanya selama ini. Mungkin juga mereka tidak selesa untuk melayan gadis ‘berat mulut’ sepertinya.
    “Err... sedara... kami kena pergi dulu... ada usrah...” Lailina memahami dilema yang sedang dihadapi Muna.
Lailina bingkas bangun sambil menarik lengan Muna. Dia tahu Muna tidak selesa dengan suasana sebegitu. Lebih baik dia menjadi penyelamat keadaan. Lagi pun Muna pasti takkan menjawab soalan-soalan Syed Abrisam walau pun lelaki itu sanggup tunggu sampai ke subuh pagi esok. Lailina kenal benar dengan gadis unik bernama Muna Farhah Wahidah di sisinya itu. Dia membawa Muna naik ke dorm.

Abrisam memandang penuh tanda tanya. Belum pernah dia temui gadis sepelik itu. Belum pernah dia kenali gadis yang sangat mahal untuk mendengar sekadar namanya sahaja. Dia terfikir-fikir mungkinkah tindakannya itu tidak sesuai. Mungkin Muna berasa segan ditegur begitu. Bukankah di dalam Islam tidak boleh lelaki dan wanita bukan mahram bertemu berduaan? Jadi salahkah dia bertindak bertemu gadis itu dikhalayak ramai? Abrisam memandang ke serata ceruk Dewan Makan. Setiap mata memandang ke arahnya. Apa salah dia?

    “Kan aku dah cakap... tak jumpa pun dia tak kisah... tengoklah dia tadi..” Kamarul bersuara. Mereka berdua melangkah meninggalkan Dewan Makan.
    “Tak eloklah macam tu.. dia tolong aku semalam.. tak sempat terima kasih..” balas Abrisam.
    “Kau tak kenal dia lagi...” Kamarul menyambung. Abrisam terpinga-pinga memandang teman barunya itu.



-----------------to be continued---------------------------



Hasil Karya, 
Hafeiz Suhaimi

0 babblings:

Post a Comment