Sunday, February 20, 2011

Namaku Muna~5~

Salam..
Kredit buat pengarang sebenar :)




Hari Ahad merupakan hari pertama persekolahan pada setiap minggu. Kadangkala ada baik juga hari Ahad bermula persekolahan, bermakna cuti hujung minggu adalah Jumaat dan Sabtu. Hal ini membolehkan umat Islam berjemaah Jumaat dengan selesa. Tidaklah perlu terkejar-kejar untuk ke masjid.

Abrisam bangun awal pagi tadi. Kebiasaannya dia bangun jam 6 pagi. Tetapi azamnya bila masuk ke S3N ini adalah untuk bangun awal pagi dan bertahajud serta mengulangkaji. Dua hari pertama berada di S3N menggembirakannya. Ramai juga teman-teman baru, tidak kurang juga bertemu dengan pendebat-pendebat S3N yang tidak kurang handalnya. Dia ditempatkan di Asrama Khalid al-Walid dorm satu. Dia berkongsi katil dua tingkat dengan Kamarul.

    “Kau dah tahu kelas mana?” Kamarul bertanya. Baju kemeja putih sedang hangat diseterika beralaskan sejadah.
    “Belum.. aku kena pergi pejabat sekali lagi.. Puan Hanisah ke nama kerani tu..”
    “A’ah.. Kenapa dengan Puan Hanisah?”
    “Dia suruh datang pagi ni untuk tentukan kelas mana..” sambung Abrisam.
    “Mana-mana kelas pun sama saja.. sure kau jadi perhatian hari ini..”
Abrisam berkerut kening. Susah benar jadi manusia dikenali ini. Dia pun tidak pernah terbayang difikiran akan ke tahap itu. Cuma satu perkara sahaja yang selalu dipegangnya. Tinggi mana pun mencecah awan, rumput di bumi jangan dilupa. Itu falsafah hidupnya.

Abrisam ditempatkan di Tingkatan 5 Sains Ibnu Khaldun. Memang seperti yang dikatakan Kamarul; dia jadi perhatian ramai. Bukan seorang dua yang memberi perhatian. Setiap gerak gerinya diperhatikan. Macam dia ini makhluk asing sahaja. Dia cuba menjadi seramah mungkin. Dia mahu mencipta banyak persahabatan. Supaya nanti dia tidak terasa disisihkan atau menyisihkan. Dia mahu kehidupannya berjalan dengan baik, tanpa ada sebarang masalah perhubungan dengan mana-mana pihak.

Slot waktu terakhir sebelum tamat sekolah adalah kelas Biologi.

Jantung adalah salah satu organ di dalam badan yang sangat penting. Jika otak kita dianalogikan kepada enjin kereta, maka jantung itu umpama tangki minyak. Tanpa tangki minyak yang membekalkan minyak, tak ada gunanya enjin berkapasiti tinggi sekali pun. 

Syukuri nikmat Ilahi kerana memberikan kita semua kesempurnaan untuk hidup normal. Bayangkanlah betapa penting organ bernama jantung di dalam diri kita. Jika jantung tiada, bagaimana agaknya otak dan organ badan yang lain akan mendapat bekalan oksigen dan nutrien? Maha Besar dan Maha Pencipta Allah swt, Tuhan Pemerintah Seru Sekelian Alam. Bila belajar sesuatu, perlulah dikaitkan kepada Tauhid kita padaNya. Barulah bermanfaat ilmu itu meningkatkan keimanan kita padaNya.

Abrisam terpaku melihat lakaran jantung di papan hitam. Cikgu Roslinah melarik-larik dinding jantung di papan hitam itu sambil mulutnya tidak berhenti-henti memberikan penerangan. Sesekali Abrisam mengangguk kepala tanda faham. Suasana diam sambil memberikan perhatian dan tumpuan sepenuhnya kepada subjek yang diajarkan. Inilah kali pertama mereka diperkenalkan kepada Jantung manusia yang selama ini dipelajari secara asas sahaja.

Jantung atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai heart (Latin, cor) merupakan organ berongga yang berfungsi mengepam darah melalui saluran darah dengan denyutan yang sekata yang berulang-ulang. Istilah kardium bermaksud berkaitan dengan jantung, berasal dari perkataan Greek kardia untuk “jantung”

Jantung sangat istimewa jika dibandingkan dengan organ lain. Otot jantung berdenyut tanpa henti dan tidak mengalami tenat. Maka sebab itulah jantung boleh berdenyut sepanjang masa untuk mengepam darah tanpa perlukan rehat. Jantung mempunyai empat ruang khas atau bilik untuk mengkoordinasikan pengepaman darah.

Darah tak beroksigen dari tubuh memasuki atrium kanan melalui 2 urat, vena kava superior dan vena kava inferior. Darah kemudian mengalir ke ventrikel kanan. ventrikel kanan mengepam darah tanpa oksigen ke paru-paru, melalui arteri pulmonari. Selepas darah kehilangan karbon dioksida dan menyerap oksigen dalam paru-paru, ia mengalir melalui urat pulmonari ke atrium kiri. Dari atrium kiri, darah beroksigen memasuki ventrikel kiri. ventrikel kiri merupakan pam utama, menghantar darah melalui aorta kesemua tubuh.

Memang mudah jika hendak dibacakan sahaja teks Biologi itu. Tapi untuk memahaminya memerlukan guru yang cekap dalam teknik mengajar untuk menjadikan pembelajaran itu mudah dan menyeronokkan. Jika tidak sudah pastilah ramai yang tidur di dalam kelas. Atau mungkin juga pura-pura faham, sedangkan satu habuk pun tidak lekat di dalam kepala. Abrisam menyalin nota-nota yang diberikan oleh Cikgu Roslinah.

    “Ada sesiapa yang tak faham?”
Seseorang guru juga jangan jadi syok sendiri sahaja. Jangan kerana ilmu yang terlalu melimpah di dada, mengajar pun kerana syok sendiri. Bak kata orang, mengajar biar sedikit tapi bermanfaat dari berkhutbah seorang diri di depan tapi satu apa pun tidak difahami murid.
    “....” Semuanya diam. Lumrah biasa pelajar-pelajar kita. Bila ditanya faham atau tidak, semuanya menjawab faham. Bila peperiksaan, semuanya merapu dalam kertas jawapan.
    “Kalau ada sesiapa yang nakkan explanation, jumpa saya...” Cikgu Roslinah mengemas buku-buku rujukan di atas mejanya. Semua murid bangun menghormati.

Krriing...
Loceng kelas terakhir berbunyi. Menandakan berakhirlah sudah sesi pengajian untuk hari itu. Semua boleh pulang.
    “Err sebelum saya lupa, buat latihan muka surat 78 hingga 82... hantar sebelum Khamis ni...” Sempat lagi Cikgu Roslinah berpesan dalam pada mengatur langkah keluar bilik darjah.

Semua pelajar mengeluh. Bertambah lagilah nampaknya kerja-kerja rumah. Pagi tadi Cikgu Wong sudah memberikan tugas 10 muka surat untuk subjek Kimia. Itu belum dicampur dengan latih tubi Matematik Moden dan juga Fizik. Belum lagi juga dikira latihan Matematik Tambahan yang bakal diterima esok dari Miss Anne. Nak dikata apa lagi. Itu semua tanggungjawab mereka juga. Bukankah mereka datang ke S3N ini untuk menimba ilmu?



------------------to be continued------------------------



Hasil Karya, 
Hafeiz Suhaimi

0 babblings:

Post a Comment